Friday, January 25, 2008

Tenis Terbuka Australia 2008 - Tumbangnya jaguh dunia

Djokovic akhiri rekod 19 kemenangan berturut-turut Federer di Kejohanan Grand Slam

Rekod 10 aksi final berturut-turut Grand Slam milik Federer turut lebur

PILIHAN ketiga, Novak Djokovic berjaya mematahkan servis pemain nombor satu dunia, Roger Federer pada mata penamat tie-break set ketiga di kedudukan 6-5 untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Tenis Terbuka Australia buat pertama kali dalam kariernya.

Pemain Serbia berusia 20 tahun yang hanya menang sekali dalam enam pertemuannya dengan Federer sebelum ini menang 7-5, 6-3, 7-6 (7-5), dalam pertarungan selama dua jam 27 minit untuk menempah pertemuan dengan Jo-Wilfried Tsonga di final Ahad ini.

Tsonga, pemain bukan pilihan dari Perancis mengejutkan pemain nombor dunia dari Sepanyol, Rafael Nadal juga dalam straight set pada satu lagi pertemuan separuh akhir semalam.

Kekalahan tersebut menghancurkan impian Federer untuk menyamai rekod 14 kemenangan Grand Slam pemain Amerika Syarikat, Pete Sampras.

Kemenangan tunggal Djokovic ke atas pemain nombor satu dunia itu ialah pada Kejohanan Canada Masters tahun lalu.

Kemenangan itu juga sekaligus melunaskan dendamnya ke atas Federer apabila beliau tewas 6-7, 6-7, 4-6 di perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu.

Rekod Federer di Terbuka Australia begitu cemerlang apabila beliau mara ke perlawanan akhir sebanyak tiga kali sejak 2004 di mana tahun pertama beliau muncul juara mengalahkan pemain Russia, Marat Safin.

Pada kejohanan tahun lalu Federer menewaskan pemain Chile, Fernando Gonzalez 7-6, 6-4, 6-4 di perlawanan akhir untuk muncul juara buat kali ketiga.

Kekalahan ini juga menyaksikan rekod 19 kemenangan berturut-turut Federer di Terbuka Australia berakhir.

Ini juga kali pertama Federer gagal ke perlawanan akhir kejohanan Grand Slam sejak tewas di separuh akhir kepada pakar gelanggang tanah liat, Rafael Nadal pada Kejohanan Terbuka Perancis 2005.

Selain itu Djokovic turut meleburkan rekod 10 aksi final kejohanan Grand Slam berturut-turut milik Federer.

Lebih menarik ialah Djokovic berjaya mara ke akhir tanpa mencicirkan sebarang set dalam enam perlawanan sebelum ini

No comments: