Wednesday, January 23, 2008

Badminton Terbuka Korea 2008

Dua pasangan negara lepasi halangan pertama
Roslin, Hafiz gagal lagi

MENGECEWAKAN. Itulah yang dapat disimpulkan mengenai dua pemain negara, Muhd Roslin Hashim dan adiknya, Hafiz.

Selepas tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia seminggu lalu, nasib serupa terus menimpa buat dua beradik itu apabila tewas lagi, juga di pusingan awal.

Cuma kali ini skripnya agak berbeza, jika minggu lepas mereka tewas di tangan pemain senegara dan di halaman sendiri, kali ini mereka tewas di Kejohanan Terbuka Korea kepada lawan berbeza.

Roslin, pemain ranking 20 dunia tewas kepada pemain Jepun, Shoji Sato 16-21, 17-21, sementara Hafiz tumbang di tangan lawan dari Indonesia, Simon Santoso 12-21, 10-21.

Sementara itu pasangan negara, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif tidak menghadapi masalah membenam lawan dari Russia, Vitalij Durkin/Alexandr Nikolaenko dengan dua set terus, 21-5, 21-13.

Kemenangan tersebut mengiringi kemaraan satu lagi beregu negara, Chan Chong Ming/Chew Choong Eng yang menumpaskan beregu Korea, Yoo Yeon Seong/Cho Gun Woo 24-26, 21-18, 21-19 dalam perlawanan terdahulu.

No comments: