Thursday, January 24, 2008

Badminton Terbuka Korea 2008

TERKINI..
Choon Hann tumbang di tangan Chunlai

PEMAIN perseorangan negara, Wong Choon Hann gagal meneruskan kemaraan di Kejohanan Badminton Terbuka Korea selepas tersekat di pusingan kedua kepada jaguh China, Bao Chunlai dalam perlawanan sengit hampir satu jam.

Walaupun tewas Choon Hann berjaya mengheret pilihan ketiga kejohanan itu hingga ke set penentuan sebelum tewas 14-21, 21-15, 19-21.

Perlawanan di awal set pertama agak seimbang apabila kedua-dua pemain saling bertukar mata sebelum Choon Hann berjaya mendahului 9-5.

Bagaimanapun Chunlai berjaya memungut tujuh mata berturut-turut untuk mendahului 12-9.

Selepas membenarkan Choon Hann memungut satu mata, Chunlai terus menguasai permainan hingga ke akhir set pertama.

Di set kedua, Choon Hann memperbaiki permainan dan mendahului lawannya itu dari awal permainan hingga ke akhir untuk menang 21-15.

Di awal set ketiga Choon Hann mengutip tiga mata berturut-turut sebelum berjaya dikejar oleh Chunlai.

Hanya di kedudukan 11-11, barulah Chunlai berjaya mendahului dengan 13-12, bagaimanapun bekas pemain nombor satu negara itu kembali mendahului di kedudukan 15-13.

Perlawanan kemudiannya bertukar seimbang dengan kedua-dua pemain saling bertukar servis hingga Choon Hann mendahului 19-18 sebelum Chunlai akhirnya berjaya mengutip tiga berturut-turut untuk menamatkan set ketiga dengan 21-19.

Dengan kekalahan itu bermakna hanya tinggal Lee Chong Wei meneruskan perjuangan dalam bahagian perseorangan lelaki selepas satu demi satu pemain negara tewas seawal pusingan pertama.

Chong Wei dijadual bertemu jaguh tuan rumah, Lee Hyun Il pada jam 8.15 malam ini.

Sementara itu Pasangan beregu wanita negara, Wong Pei Tty/Chin Eei Hui meneruskan kemaraan ke pusingan ketiga selepas menundukkan pasangan Jepun, Aki Akao/Tomomi Matsuda dalam dua set terus, 21-12, 21-13.

Lain-lain wakil negara hanya akan turun gelanggang pada lewat petang ini.

No comments: