Sunday, January 27, 2008

Tenis Terbuka Australia 2008 - Final

Djokovic muncul juara baru Terbuka Australia


PEMAIN tenis nombor tiga dunia, Novak Djokovic merangkul kejuaraan Grand Slam pertama dalam kariernya selepas menghampakan pemain sensasi dari Perancis, Jo-Wilfred Tsonga dalam aksi kemuncak Kejohanan Tenis Terbuka Australia lewat petang ini.

Djokovic yang berjaya menamatkan rekod 10 penampilan final Grand Slam berturut-turut pemain nombor satu dunia, Roger Federer pada aksi separuh akhir kelmarin, bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk membenam pemain bukan pilihan itu dengan keputusan penuh 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 (7-2).

Tsonga, yang sebelum ini mengejutkan beberapa nama besar jaguh tenis dunia termasuk pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal seakan mampu mencipta satu lagi kejutan apabila berjaya memenangi set pertama 6-4.

Djokovic bagaimanapun berjaya mematahkan servis pertama Tsonga di set kedua untuk terus menguasai hingga akhir permainan.

Pada set ketiga tidak banyak yang mampu dilakukan pemain Perancis itu untuk membalas pukulan bertenaga Djokovic sebelum tewas 3-6.

Pada set keempat kedua-dua pemain gagal mematahkan servis pihak lawan hingga memaksa permainan ditentukan menerusi tie-break.

Bagaimanapun Tsonga kelihatan kurang bertenaga untuk menyerah mudah 2-7 untuk memberikan kemenangan bersejarah buat pemain Serbia itu.

Ini adalah kali kedua Djokovic beraksi di pentas final kejohanan Grand Slam selepas Terbuka Amerika tahun lalu.

No comments: