Thursday, January 31, 2008

Jazeman dapat balik gelaran Asia

Malaysia disah juara kategori pemandu, pasukan

PETALING JAYA (Utusan Malaysia) - Pelumba muda negara, Jazeman Jaafar mendapat balik gelaran juara Formula BMW Asia 2007.

Keputusan itu dibuat oleh Persekutuan Automotif Antarabangsa (FIA), semalam dan mengarahkan penganjur supaya menyenaraikan semula namanya dan pasukan CIMB Qi-Meritus yang diwakilinya dalam senarai keputusan kejohanan dan siri berkenaan.

‘‘Pada pukul 2 pagi ini (semalam), kami diberitahu perkara tersebut oleh FIA. Keputusan mereka (FIA) adalah berdasarkan kepada tiada keputusan dibuat selepas kami mengemukakan rayuan.

‘‘FIA berpendapat oleh kerana rayuan tidak mendapat maklum balas dari bidang kuasa perundangan tempatan, maka Jazeman dan pasukan kami telah diberi semula gelaran selaku juara pemandu dan juara pasukan Formula BMW Asia 2007.

‘‘Kami gembira dengan berita ini,’’ kata ketua pasukan CIMB Qi-Meritus, Peter Thompson pada satu sidang akhbar di sini, semalam.

Rayuan dikemukakan berdasarkan kepada beberapa perkara terutama berkaitan soal keputusan teknikal yang dibuat di Zhuhai yang terdapat kecacatan dan kesilapan.

Jazeman, 14, sentiasa mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim lepas, namun beliau dan pasukannya merasa kecewa apabila gelaran juara yang dimenanginya dan pasukannya pada perlumbaan ke-22 di Litar Antarabangsa Zuhai, China dibatalkan atas alasan terdapat komponen yang tidak dibenarkan pada kereta lumba beliau.

Dengan keputusan FIA itu, pasukan Malaysia kini sah sebagai juara kategori pemandu dan pasukan bagi Formula BMW Asia Series 2007. - Utusan

1 comment:

Anonymous said...

Yeaaayyyy! Jazeman got his title back! MALAYSIA BOLEHH :D