Wednesday, January 23, 2008

Badminton Siri Super Terbuka Korea 2008

Choong Han mara pusingan ke-2
Tiga pemain negara tersingkir awal

PEMAIN veteran, Wong Choon Hann berhempas pulas sebelum mara ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Korea yang bermula semalam.

Choon Hann mara selepas menewaskan rakan senegara, Lee Tsuen Seng dalam tiga set 19-21, 21-16, 21-10.

Bagaimanapun dua lagi pemain perseorangan negara, Sairul Amar Ayob dan Yeoh Kay Bin tumbang kepada lawan masing-masing dalam straight set.

Kay Bin tewas kepada pilihan keenam dari Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 14-21, 13-21 manakala Sairul tumbang kepada lawan kurang ternama dari Hong Kong, Chan Yan Kit 13-21, 17-21.

Pemain adik beradik, Muhd Roslin Hashim dan Muhd Hafiz Hashim akan turun ke gelanggang pada lewat petang ini.

Ruslin akan berhadapan dengan pemain Jepun, Shoji Sato manakala Hafiz bakal berentap dengan pemain Indonesia, Simon Santoso.

Sementara itu, Juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei berhadapan laluan agak mudah apabila dijadual bertemu pemain Kanada, Andrew Dabeka pada sebelah malam.

Dalam bahagian beregu, pasangan Chan Chong Ming/Chew Choong Eng melepasi halangan awal dengan menumpaskan beregu Korea, Yoo Yeon Seong/Cho Gun Woo 24-26, 21-18, 21-19.

Satu lagi beregu negara, Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari/Mohd Zakry Abdul Latif akan menentang pasangan Russia, Vitalij Durkin/Alexandr Nikolaenko pada sebelah malam nanti.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita nombor satu negara, Wong Mew Choo tewas mengejut 11-21, 16-21 kepada pemain kurang ternama dari Korea, Lee Yun Hwa.

No comments: