Monday, January 14, 2008

Manchester kembali terajui liga


Hatrik Ronaldo letak United di puncak Liga Perdana

MANCHESTER: Finalis pemain terbaik dunia FIFA, Cristiano Ronaldo mempersembahkan permainan menakjubkan ketika pasukannya kembali ke tangga teratas liga dengan membenam pasukan bermasalah, Newcastle United 6-0 di Old Trafford, malam tadi.

Beliau yang menjaringkan hatrik pertamanya musim ini menegaskan kembalinya Manchester United ke persada Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah jauh lebih bagus berbanding hatrik pertama buatnya di kelab berkenaan.

Pemain sayap Portugal berusia 22 tahun itu menjaringkan tiga gol pada babak kedua ketika skuad kendalian Sir Alex Ferguson bertindak balas terhadap permainan tanpa gol pada babak pertama dengan memusnahkan Newcastle yang tidak mempunyai pengurus pada babak kedua.

Gol berkenaan memberikan Ronaldo jaringan ke-22 musim ini - hanya satu gol kurang berbanding 23 jaringannya ketika membantu United mencipta kejayaan meraih gelaran EPL tahun lalu dan Ferguson mengakui masih banyak yang mampu dilakukan pemain itu.

Namun pemain Portugal itu menegaskan selepas perlawanan itu bahawa sasaran peribadi adalah yang kedua berbanding usaha mempertahankan gelaran milik mereka.

“Ia hari yang istimewa buat saya,” kata Ronaldo. “Saya sangat gembira memenangi perlawanan dan membawa pasukan ke persada liga. Ini adalah perkara paling penting.

“Adalah sesuatu yang amat mustahak untuk menjaringkan gol dan membantu pasukan. Saya sangat bangga dan gembira. Memang bagus untuk menjaringkan hatrik tetapi jika saya menjaringkan dua gol dalam setiap perlawanan, ia juga menggembirakan.

“Jika kami terus bermain sama seperti yang kami lakukan pada babak kedua, saya yakin kami akan menjadi pasukan terbaik.”

Ferguson sudah membayangkan persembahan babak kedua pasukannya akan lebih baik selepas kecewa dengan apa yang ditunjukkan sebelum rehat dan memuji Ronaldo kerana persembahannya.

“Saya sentiasa berfikir jaringan hatrik itu akan hadir,” katanya.

“Dia pemain muda yang sentiasa meningkat, dia sentiasa berlatih. Saya menjangkakan dia akan menjaringkan lebih banyak gol musim ini dan dia melakukannya.”

Dua gol daripada Carlos Tevez dan satu daripada Rio Ferdinand memastikan United mengambil kesempatan sepenuhnya daripada kegagalan Arsenal menewaskan Birmingham City dalam perlawanan awal dan berada di puncak liga.

No comments: