Monday, July 28, 2008

Nadal hampiri takhta nombor satu dunia

Nadal rangkul gelaran ketujuh tahun ini selepas menang Piala Rogers

RAFAEL Nadal semakin menghampiri ranking nombor satu dunia selepas mengalahkan pemain Jerman, Nicolas Kiefer 6-3, 6-2 dalam perlawanan akhir tenis Piala Rogers di Toronto awal pagi tadi.

Kemenangan itu menjadikan Nadal menggondol lima kejuaraan berturut-turut tahun ini, termasuk dua gelaran Grand Slam Terbuka Perancis dan Wimbledon, serta mempertahankan 29 permainan tanpa kalah.

Lawannya dari Jerman, adalah pemain bukan pilihan kejohanan yang menduduki ranking ke-37 dunia dan bermain pertama kali pada final siri ATP sejak 2005.

Dengan memperoleh tujuh kejuaraan ATP tahun ini dan yang ke-30 sepanjang kariernya, bakal menyaksikan Nadal mengambil alih status pemain nombor satu dunia daripada Roger Federer pada kejohanan Cincinnati Masters, minggu depan.

Nadal kini dipisahkan daripada Federer dengan 300 mata dan jika dia menang di Cincinnati dan Federer pula tewas pada separuh akhir, Nadal dengan selesa merebut tempat pertama ranking dunia dan menamatkan era Federer sejak sekian lama.

Nadal menjadi pemain nombor dua dunia sejak Julai 2005.

"Setiap pemain bercita-cita menjadi pemain nombor satu, saya juga begitu. Namun saya masih lagi nombor dua dan saya gembira dengan keadaan ini," katanya.

Dalam pertemuan dengan Kiefer, ia langsung tidak menampakkan cita-cita Nadal untuk terus memburu kejayaan tersekat.

Nadal mudah memintas Kiefer pada permainan kelima dengan melepaskan bola 'drop' dan sekali lagi pada set kesembilan apabila Kiefer melakukan 'double fault'.

Namun Kiefer bangkit pada set kedua dan berpeluang memintas Nadal pada permainan kelima tetapi Nadal nyata terlalu kental buat pemain Jerman itu.

Berita-berita berkaitan:

Tenis: Nadal bakal tamatkan era Federer

Kiefer gagal tandingi kehebatan Nadal

Tenis: Rafael Nadal juara Piala Rogers

Sunday, July 27, 2008

Nadal mara ke final Piala Rogers

Bakal bertemu Nicolas Kiefer dalam aksi final awal pagi esok

PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal berada di landasan tepat untuk merangkul gelaran ketujuh tahun ini selepas menewaskan Andy Murray 7-6 (2), 6-3 untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Tenis Piala Rogers awal pagi ini.

Pemain pilihan kedua itu akan berdepan Nicolas Kiefer yang mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Gilles Simon dari Perancis 6-7 (4), 6-3, 7-6 (5) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut bagi Nadal ke atas Murray selepas menyingkirkan pemain Britain itu pada peringkat suku akhir Kejohanan Wimbledon awal bulan lalu.

Nadal, yang menjuarai gelaran gelanggang keras pertama di Piala Rogers 2005, merangkul dua kejohanan Grand Slam, Terbuka Perancis dan Wimbledon, tahun ini.

Dia kini mempunyai rekod 28 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

“Anda tahu, dia melakukan banyak perkara lebih baik kini daripada sebelum ini. Saya rasa dia bergerak lebih baik di gelanggang keras, dan saya rasa dia menukar kepantasan bola sedikit," kata Murray selepas gagal membalas dendam ke atas Nadal.

Friday, July 11, 2008

BMW Sauber gembira prestasi Heidfeld


PEMANDU pasukan BMW Sauber, Nick Heidfeld mula mendapat rentak dalam perlumbaan kereta Formula Satu (F1) bagi menyaingi rakan sepasukannya, Robert Kubica selepas dikritik hebat ekoran prestasi kurang memberansangkan sebelum ini.

Pelumba Jerman itu berjaya menaiki podium setelah menduduki tempat kedua pada perlumbaan Grand Prix (GP) Britain Ahad lalu, sebaliknya Kubica mengalami masalah teknikal pada pusingan kelayakan selain kerap terbabas pada perlumbaan berkenaan.

Ketua pasukan BMW Sauber, Mario Theissen percaya Nick Heidfeld sudah mula menunjukkan tanda-tanda untuk kembali bangkit dalam perlumbaan seterusnya.

"Dia telah membuktikan bahawa dia sudah agak selesa dengan jentera kami dan dia juga sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan.

Dalam pada itu, Heidfeld mengakui dia cukup gembira dengan prestasinya di Britain tetapi dia percaya masih terdapat ruang untuk dia memperbaiki lagi prestasinya selepas ini.

Juara baru Wimbledon layak beraksi kejohanan Piala Masters

DUA pemain tenis terbaik dunia iaitu pemain nombor satu, Roger Federer dan juara baru Wimbledon, Rafael Nadal layak beraksi pada Kejohanan Tenis Piala Masters, November depan.

Dua jaguh tenis dunia itu bersama pemain sensasi Serbia, Novak Djokovic adalah tiga pemain pertama yang melayakkan diri pada kejohanan tahunan itu setelah mengumpul mata secukupnya.

Kejohanan yang bermula 9 hingga 19 November itu berlangsung di Shanghai, China dan menampilkan lapan pemain tenis terbaik Persatuan Tenis Profesional (ATP) sepanjang musim ini.

Nadal yang juga pemain tenis nombor dua dunia kini mendahului dalam sirkit profesional lelaki dengan rekod kemenangan 56-7 dan telah merangkul enam gelaran sepanjang musim ini.

Federer pula hanya mencatat rekod 43-9.

Manakala Pemain Serbia, Djokovic yang turut beraksi pada kejohanan itu nanti mencatat 38-9 dan telah merangkul tiga gelaran dalam sirkit ATP.