Friday, May 2, 2008

Piala Thomas tetap fokus BAM

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan memalingkan perhatian daripada hasrat memenangi kejuaraan berpasukan dunia, Piala Thomas di Jakarta, pertengahan bulan ini.

Setiausaha Kehormatnya, Ganga Rao, berkata hakikat bahawa tumpuan musim ini lebih menjurus kepada Sukan Olimpik, ia menyebabkan ramai pihak beranggapan BAM tidak berminat untuk memenangi Piala Thomas.

Sebaliknya, BAM tidak pernah lari daripada fokus dan keutamaannya untuk memastikan Piala Thomas akan dapat dibawa pulang, seterusnya memastikan pingat emas Sukan OIimpik Beijing, juga dapat dimenangi.

"Kita tidak harus hilang fokus dan matlamat kita ialah sentiasa memastikan akan dapat memberikan persembahan terbaik dan cuba memenangi kejuaraan, tidak kira di Piala Thomas atau Sukan Olimpik.

Ganga turut menguatkan hujahnya itu dengan merujuk kepada senarai pemain yang diturunkan, terdiri daripada barisan terkuat negara termasuk mereka yang akan beraksi di Sukan Olimpik, Beijing.

"Kita menurunkan tiga perseorangan utama iaitu Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Hafiz Hashim serta tiga beregu terbaik untuk beraksi di Piala Thomas.

"Jika matlamat kita bukan untuk memenangi Piala Thomas, tidak perlu kita menurunkan pemain terbaik ini," kata Ganga.

Malah, jika dibandingkan dua tahun lalu di Jepun apabila Malaysia kecundang di separuh akhir kepada Denmark, skuad kali ini tampak lebih mantap dengan Chong Wei lebih konsisten berbanding di Tokyo manakala dua beregu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, boleh menewaskan beregu handalan dunia.

Walaupun undian kelihatan berat buat Malaysia, Ganga berkata jika pemain memikul peranan dan strategi dengan betul dan menemui sentuhan masing-masing, tidak mustahil Malaysia mara ke final di Jakarta.

Pemain utama, Choong Hann layak ke Olimpik

BEKAS pemain perseorangan utama negara, Wong Choong Hann menerima suntikan semangat menjelang pusingan akhir badminton Piala Thomas minggu depan apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

Choong Hann, 31, mengesahkan tempatnya pada Temasya 8-24 Ogos itu selepas menempatkan diri pada kedudukan 14 terbaik dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Naib juara dunia 2003 itu akan mengiringi Lee Chong Wei, yang turut mengesahkan tiket ke Beijing selaku pemain nombor dua dunia.

Pasangan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula akan mengetuai cabaran beregu lelaki bersama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Begitupun dalam saingan wanita, kita hanya memiliki dua wakil - Wong Mew Choo dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang berada pada ranking ke-10 dunia, tetapi tidak mempunyai sebarang wakil dalam beregu campuran.

Setiap negara layak untuk menghantar dua wakil pada Sukan Olimpik jika terdapat satu atau lebih pemainnya berada dalam kedudukan 16 terbaik dunia pada ranking 1 Mei 2008.

Bagaimanapun mereka boleh menghantar maksimum tiga wakil sekiranya terdapat tiga atau lebih pemainnya berada pada empat kedudukan terbaik dunia.

Pengurus Kejohanan BWF, M. Venugopal berkata, senarai fasa pertama pemain yang layak ke Olimpik akan dikeluarkan pada 10 Mei ini, tetapi semua negara diberi tempoh hingga 31 Mei untuk menentukan pemain yang akan mewakili mereka.

Thursday, May 1, 2008

Bola sepak : Scholes ingin tebus kehampaan 1999

GOL menakjubkan daripada Paul Scholes memberikan Manchester United kemenangan 1-0 ke atas Barcelona, awal pagi semalam untuk mengatur pertemuan final membabitkan sesama kelab Inggeris dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang sama ada Liverpool atau Chelsea di Moscow, 21 Mei ini.

Pada malam penuh drama di Old Trafford, di mana Barcelona bermain corak bola sepak menyerang yang sentiasa memukau tontonan, ia memang kena pada tempatnya bahawa Scholes menjaringkan gol yang memastikan kelabnya tempat dalam pertembungan kejuaraan di Stadium Luzhniki nanti.

Scholes digantung ketika kemenangan epik United ke atas Bayern Munich pada final 1999, dan pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson sudah pun menyatakan pemain tengah itu akan beraksi jika mereka mara ke final.

Dia memberi reaksi dengan rembatan menakjubkan yang melayang tinggi dan melepasi jangkauan penjaga gol, Victor Valdes pada minit ke-14 saingan separuh akhir kedua, untuk memberi United kemenangan agregat 1-0.

"Ia gol menakjubkan," kata Ferguson. "Dia melalui daripada peringkat bawah di sini dan salah seorang pemain terkemuka dimiliki kelab ini.

"Kami tidak boleh mengharapkan dia akan menjaringkan 15-20 gol musim ini seperti dilakukannya ketika muda, tetapi gol yang diperolehnya malam ini menebus semua yang tidak dapat dijaringkan lagi."

Pengurus Barcelona, Frank Rijkaard meratapi kegagalan pasukannya untuk menyempurnakan peluang yang ada.

"Kami melakukan segala-galanya melainkan menjaringkan gol. Ia perlawanan seimbang. Kami kemungkinan lebih sedikit menguasai permainan tetapi peraturan menyebut bawah pasukan yang menjaringkan gol akan mara, dan kami tidak melakukannya."

Ia bakal menjadi final ketiga United dalam Piala Eropah berikutan kemenangan sebelum ini ke atas Benfica di Wembley pada 1968 dan Bayern di Barcelona ada 1999, apabila mereka merangkul tiga gelaran Piala Eropah, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka kini mengejar kejuaraan berganda iaitu Liga Juara-Juara dan EPL.

Rasuah: FAM pantau persatuan, pemain

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menjalankan pemantauan yang lebih kerap terhadap persatuan bola sepak negeri dan pemain untuk memastikan gejala rasuah tidak berleluasa dalam semua pertandingan anjuran badan induk bola sepak negara itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Azzudin Ahmad berkata, berdasarkan undang-undang serta perlembagaan FAM, jelas sekali gejala rasuah merupakan satu kesalahan berat dan sangat ditegah kerana ia bertentangan dengan etika.

"Lebih banyak pemantauan akan dilakukan oleh FAM selepas ini untuk memastikan tidak ada pemain yang terbabit dengan gejala rasuah dan mengatur keputusan perlawanan," katanya di Kuching semalam.