Thursday, May 1, 2008

Bola sepak : Scholes ingin tebus kehampaan 1999

GOL menakjubkan daripada Paul Scholes memberikan Manchester United kemenangan 1-0 ke atas Barcelona, awal pagi semalam untuk mengatur pertemuan final membabitkan sesama kelab Inggeris dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah menentang sama ada Liverpool atau Chelsea di Moscow, 21 Mei ini.

Pada malam penuh drama di Old Trafford, di mana Barcelona bermain corak bola sepak menyerang yang sentiasa memukau tontonan, ia memang kena pada tempatnya bahawa Scholes menjaringkan gol yang memastikan kelabnya tempat dalam pertembungan kejuaraan di Stadium Luzhniki nanti.

Scholes digantung ketika kemenangan epik United ke atas Bayern Munich pada final 1999, dan pengurus pasukan, Sir Alex Ferguson sudah pun menyatakan pemain tengah itu akan beraksi jika mereka mara ke final.

Dia memberi reaksi dengan rembatan menakjubkan yang melayang tinggi dan melepasi jangkauan penjaga gol, Victor Valdes pada minit ke-14 saingan separuh akhir kedua, untuk memberi United kemenangan agregat 1-0.

"Ia gol menakjubkan," kata Ferguson. "Dia melalui daripada peringkat bawah di sini dan salah seorang pemain terkemuka dimiliki kelab ini.

"Kami tidak boleh mengharapkan dia akan menjaringkan 15-20 gol musim ini seperti dilakukannya ketika muda, tetapi gol yang diperolehnya malam ini menebus semua yang tidak dapat dijaringkan lagi."

Pengurus Barcelona, Frank Rijkaard meratapi kegagalan pasukannya untuk menyempurnakan peluang yang ada.

"Kami melakukan segala-galanya melainkan menjaringkan gol. Ia perlawanan seimbang. Kami kemungkinan lebih sedikit menguasai permainan tetapi peraturan menyebut bawah pasukan yang menjaringkan gol akan mara, dan kami tidak melakukannya."

Ia bakal menjadi final ketiga United dalam Piala Eropah berikutan kemenangan sebelum ini ke atas Benfica di Wembley pada 1968 dan Bayern di Barcelona ada 1999, apabila mereka merangkul tiga gelaran Piala Eropah, Piala FA dan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mereka kini mengejar kejuaraan berganda iaitu Liga Juara-Juara dan EPL.

No comments: