Friday, May 2, 2008

Pemain utama, Choong Hann layak ke Olimpik

BEKAS pemain perseorangan utama negara, Wong Choong Hann menerima suntikan semangat menjelang pusingan akhir badminton Piala Thomas minggu depan apabila berjaya melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing, Ogos ini.

Choong Hann, 31, mengesahkan tempatnya pada Temasya 8-24 Ogos itu selepas menempatkan diri pada kedudukan 14 terbaik dunia dalam ranking terbaru Persekutuan Badminton Dunia (BWF), semalam.

Naib juara dunia 2003 itu akan mengiringi Lee Chong Wei, yang turut mengesahkan tiket ke Beijing selaku pemain nombor dua dunia.

Pasangan veteran Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pula akan mengetuai cabaran beregu lelaki bersama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Begitupun dalam saingan wanita, kita hanya memiliki dua wakil - Wong Mew Choo dan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui, yang berada pada ranking ke-10 dunia, tetapi tidak mempunyai sebarang wakil dalam beregu campuran.

Setiap negara layak untuk menghantar dua wakil pada Sukan Olimpik jika terdapat satu atau lebih pemainnya berada dalam kedudukan 16 terbaik dunia pada ranking 1 Mei 2008.

Bagaimanapun mereka boleh menghantar maksimum tiga wakil sekiranya terdapat tiga atau lebih pemainnya berada pada empat kedudukan terbaik dunia.

Pengurus Kejohanan BWF, M. Venugopal berkata, senarai fasa pertama pemain yang layak ke Olimpik akan dikeluarkan pada 10 Mei ini, tetapi semua negara diberi tempoh hingga 31 Mei untuk menentukan pemain yang akan mewakili mereka.

No comments: