Friday, May 2, 2008

Piala Thomas tetap fokus BAM

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tidak akan memalingkan perhatian daripada hasrat memenangi kejuaraan berpasukan dunia, Piala Thomas di Jakarta, pertengahan bulan ini.

Setiausaha Kehormatnya, Ganga Rao, berkata hakikat bahawa tumpuan musim ini lebih menjurus kepada Sukan Olimpik, ia menyebabkan ramai pihak beranggapan BAM tidak berminat untuk memenangi Piala Thomas.

Sebaliknya, BAM tidak pernah lari daripada fokus dan keutamaannya untuk memastikan Piala Thomas akan dapat dibawa pulang, seterusnya memastikan pingat emas Sukan OIimpik Beijing, juga dapat dimenangi.

"Kita tidak harus hilang fokus dan matlamat kita ialah sentiasa memastikan akan dapat memberikan persembahan terbaik dan cuba memenangi kejuaraan, tidak kira di Piala Thomas atau Sukan Olimpik.

Ganga turut menguatkan hujahnya itu dengan merujuk kepada senarai pemain yang diturunkan, terdiri daripada barisan terkuat negara termasuk mereka yang akan beraksi di Sukan Olimpik, Beijing.

"Kita menurunkan tiga perseorangan utama iaitu Lee Chong Wei, Wong Choong Hann dan Hafiz Hashim serta tiga beregu terbaik untuk beraksi di Piala Thomas.

"Jika matlamat kita bukan untuk memenangi Piala Thomas, tidak perlu kita menurunkan pemain terbaik ini," kata Ganga.

Malah, jika dibandingkan dua tahun lalu di Jepun apabila Malaysia kecundang di separuh akhir kepada Denmark, skuad kali ini tampak lebih mantap dengan Chong Wei lebih konsisten berbanding di Tokyo manakala dua beregu Choong Tan Fook-Lee Wan Wah dan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, boleh menewaskan beregu handalan dunia.

Walaupun undian kelihatan berat buat Malaysia, Ganga berkata jika pemain memikul peranan dan strategi dengan betul dan menemui sentuhan masing-masing, tidak mustahil Malaysia mara ke final di Jakarta.

No comments: