Sunday, January 24, 2010

Koo Kien Keat-Tan Boon Heong muncul juara Terbuka Malaysia 2010


BEREGU nombor satu negara, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, menjuarai Siri Super Terbuka Malaysia 2010 selepas menewaskan gandingan China, Guo Zhendong-Xu Chen 21-15, 17-21, 21-16 di Stadium Putra, Bukit Jalil petang tadi.

Pasangan negara mengambil masa 55 minit untuk menewaskan beregu China dalam pertarungan tiga set itu.

Kejayaan menjuarai Terbuka Malaysia kali ini lebih manis apabila Malaysia turut merangkul gelaran dalam bahagian perseorangan lelaki apabila Lee Chong Wei menumbangkan jaguh Thailand, Boonsak Ponsana.

Ia adalah gelaran kedua buat Kali pasangan Kien Keat-Boon Heong di Terbuka Malaysia selepas kali pertama muncul juara ialah pada 2007.

Lee Chong Wei juara Terbuka Malaysia kali keenam


JAGUH badminton Malaysia yang juga pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei muncul juara kejohanan Siri Super Terbuka Malaysia 2010 selepas menundukkan pemain Thailand, Boonsak Ponsana 21-13, 21-7 dalam masa 34 minit pada perlawanan akhir di Stadium Putra, Kompleks Sukan Bukit Jalil, sebentar tadi.

Chong Wei, pilihan utama perseorangan meraih kejayaaan keenamnya dalam Kejuaraan Terbuka Malaysia selepas muncul juara kejohanan sama pada 2004, 2005, 2006, 2008 dan 2009.

Ini merupakan kejuaraan berganda Chong Wei setelah menjuarai Terbuka Korea minggu lepas dengan menundukkan jaguh Denmark, Peter Gade Christensen 21-12, 21-11 pada aksi final 17 Januari lalu.

Wednesday, March 18, 2009

Badminton: Chong Wei tiada rakan sepelatih


ADA 'impian mustahil' bermain-main dalam sanubari Misbun Sidek apabila cuba mencari jalan terbaik untuk memastikan kemenangan anak didiknya, Lee Chong Wei ke atas jaguh China, Lin Dan, mampu berterusan.

Impian itu ialah untuk memiliki pemain dengan corak aksi persis juara Olimpik itu - supaya Chong Wei sentiasa mampu beruntung menerusi pendedahan dan latihan secara kerap.

“Ketika ini, tiada seorangpun pemain negara punya corak persembahan seperti Lin Dan. Ia bermakna Chong Wei akan hanya mampu belajar dan mempraktikkan pendekatan baru apabila bertemunya di kejohanan antarabangsa.

“Ia berbeza dengan Lin Dan kerana dia mempunyai beberapa rakan sepelatih berkualiti tinggi seperti Chen Jin, Bao Chunlai dan pemain-pemain muda yang mampu menjelmakan tentangan sehebat Chong Wei.

“Kerana itu, saya sentiasa perlu fikirkan pelbagai simulasi - termasuk menggabungkan beberapa pemain untuk berdepannya - supaya Chong Wei dipersiapkan daripada semua aspek,” kata Misbun.
Lee Chong Wei

Gelisah itu terbit kerana Misbun mengakui betapa jurang di antara kedua-duanya sebenarnya tidak jauh - tetapi Chong Wei ketika ini tertinggal daripada segi percaturan taktikal peringkat tertinggi.

“Ketahanan mental bukan lagi isunya untuk Chong Wei. Kejayaannya untuk sentiasa layak ke final Siri Super Dunia membuktikan Chong Wei mempunyai mental yang mantap.

“Tetapi percaturan taktikal pada tahap tertinggi adalah sesuatu yang kurang. Jadi, Chong Wei tidak boleh perangkap Lin Dan daripada segi itu. Ketika ini, satu-satunya pilihan ialah bersaing daripada segi ketahanan fizikal,” katanya.

Itulah yang juga dilakukan Chong Wei ketika menundukkan Lin Dan untuk menjuarai Terbuka Switzerland selepas menang 21-16, 21-16 buat menebus kehampaan pada final Seluruh England, seminggu sebelumnya.

F1: Pasukan McLaren terus bergelut


PEMANDU Renault, Fernando Alonso mengenepikan pasukan Brawn daripada senarai teratas catatan masa terpantas Formula Satu sewaktu ujian terakhir pra-musim di Sepanyol ketika McLaren terus berdepan kesukaran.

Juara dunia dua kali dari Sepanyol itu, yang kenderaannya R29 terbabas pada hari pertama Ahad lalu, menamatkan 103 pusingan di litar Jerez dengan catatan terbaik satu minit 18.343 saat.

Pemandu Brazil, Rubens Barrichello, yang memandu bekas kereta Honda yang kini dinamakan Brawn GP sempena nama pemilik baru, Ross Brawn, mencatatkan 1:18.398s dengan rakan senegara dari Britain, Jenson Button merakam catatan ketiga terpantas dengan 1:18.892s.

“Saya cukup gembira kerana melakukan lebih daripada 100 pusingan yang sememangnya sasaran kami bagi hari terakhir ujian pada musim sejuk ini,” kata Alonso.

“Kami cukup bersedia untuk musim ini,” katanya.

Musim baru perlumbaan bermula di Melbourne pada 29 Mac dengan saingan di Malaysia akan menyusul seminggu selepas itu.

Barrichello, pencatat masa terpantas pada Ahad lalu, memandu Brawn pada sesi sebelah pagi sebelum menyerahkan kepada Button, yang aksinya terjejas akibat masalah kotak gear selepas 12 pusingan pada sebelah tengah hari.

Juara dunia Lewis Hamilton dari McLaren, yang pasukannya mengakui berdepan masalah dengan kereta baru yang kurang daya pecutan, menamatkan 87 pusingan dengan catatan terbaik 1:19.513s.

Pemandu Britain itu yang sedang menguji modifikasi baru aerodinamik, menduduki tempat keempat daripada lima pelumba yang melakukan ujian itu.

F1: Juara dunia ditentu menerusi pelumba paling banyak raih kemenangan


BARISAN pegawai tertinggi Formula Satu memutuskan gelaran juara dunia musim ini akan diberikan kepada pelumba yang memenangi jumlah perlumbaan terbanyak, bukan yang mengumpul jumlah mata tertinggi.

Keputusan drastik itu adalah sebahagian perubahan yang bermatlamat menyuntik keghairahan kepada sukan yang terjejas akibat kelembapan ekonomi selain perlumbaan yang tidak banyak menyaksikan usaha untuk memintas pelumba di hadapan.

Mengikut peraturan baru itu, jika dua atau lebih pemandu menamatkan musim dengan jumlah kemenangan perlumbaan yang sama, gelaran akan diberikan kepada pemandu dengan jumlah mata tertinggi - dengan peruntukan mata mengikut sistem sedia ada.

“Kedudukan lain, daripada tempat kedua hingga terakhir, akan ditentukan oleh sistem mata sedia ada,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.

Saturday, August 16, 2008

Badminton: Syabas Chong Wei mara ke final Olimpik

TIADA topik lebih menarik perhatian bila membicarakan perihal sukan tanah air hari ini selain kejayaan jaguh badminton negara, Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir Sukan Olimpik Beijing untuk memastikan bendera Malaysia terus berkibar megah.

Chong Wei mara ke perlawanan akhir badminton selepas menundukkan lawan yang juga mempunyai semangat juang kental, Lee Hyun Il dari Korea Selatan.

Perlawanan sememangnya sengit dan mendebarkan. Tentu ramai yang seronok bila melihat aksi-aksi mantap Chong Wei ketika bermain di depan jaring yang banyak memerangkap Hyun Il khususnya pada set pertama.

Begitu pun Hyun Il ternyata lawan yang sukar dijinakkan. Selepas tewas tipis 18-21 pada set pertama, dia bangkit untuk menang set kedua dengan 21-13. Namun, semangat juang tinggi ditunjukkan Chong Wei berjaya menghalang Hyun Il daripada menggagalkan impiannya dan impian rakyat Malaysia untuk melihat beliau merangkul emas sulung Malaysia pada temasya Olimpik.

Sememangnya tidak dinafikan Chong Wei adalah atlet lelaki Malaysia paling konsisten dalam tempoh beberapa tahun ini. Calang-calang atlet untuk mengekalkan prestasi dalam tempoh yang panjang, apatah lagi bergelar pemain nombor dua dunia.

Diharapkan Chong Wei akan kekal fokus dan tidak lupa ucapan syabas buat jurulatihnya, Misbun Dato' Haji Sidek yang banyak membantu prestasi mantap Chong Wei.

Bak kata pengulas sukan RTM, Haji Hasbullah Awang ketika membuat ulasan perlawanan separuh akhir Lee Chong Wei-Lee Hyun Il semalam; "Misbun dan Chong Wei sememangnya dua nama yang tidak dapat dipisahkan".

Berita-berita berkaitan:

Badminton: Peluang terbaik Malaysia rangkul emas Olimpik

Chong Wei dedikasi kejayaan buat rakyat Malaysia

Chong Wei tamatkan kemarau pingat 12 tahun

Chong Wei mara ke perlawanan akhir

Thursday, August 14, 2008

Olimpik: Chong Wei mara ke separuh akhir

PEMAIN utama Malaysia, Lee Chong Wei akan bertemu jaguh Korea, Lee Hyun Il di separuh akhir acara badminton Sukan Olimpik selepas menewaskan wakil Indonesia, Sony Dwi Kuncoro 23-21, 21-11 dalam saingan suku akhir pagi tadi.

Manakala Hyun Il pula menyingkirkan pemain tuan rumah, Bao Chunlai juga dalam dua set, 23-21, 21-11.

Kekalahan Chunlai bermakna harapan China untuk memonopoli perlawanan akhir badminton tidak kesampaian.

Bagaimanapun negara tuan rumah itu memastikan mereka mempunyai wakil dalam perlawanan akhir nanti kerana satu lagi aksi separuh akhir membabitkan kedua-dua pemain China.

Pemain nombor satu dunia, Lin Dan akan bertemu Chen Jin untuk merebut slot perlawanan akhir. (Berita lanjut..)

Monday, July 28, 2008

Nadal hampiri takhta nombor satu dunia

Nadal rangkul gelaran ketujuh tahun ini selepas menang Piala Rogers

RAFAEL Nadal semakin menghampiri ranking nombor satu dunia selepas mengalahkan pemain Jerman, Nicolas Kiefer 6-3, 6-2 dalam perlawanan akhir tenis Piala Rogers di Toronto awal pagi tadi.

Kemenangan itu menjadikan Nadal menggondol lima kejuaraan berturut-turut tahun ini, termasuk dua gelaran Grand Slam Terbuka Perancis dan Wimbledon, serta mempertahankan 29 permainan tanpa kalah.

Lawannya dari Jerman, adalah pemain bukan pilihan kejohanan yang menduduki ranking ke-37 dunia dan bermain pertama kali pada final siri ATP sejak 2005.

Dengan memperoleh tujuh kejuaraan ATP tahun ini dan yang ke-30 sepanjang kariernya, bakal menyaksikan Nadal mengambil alih status pemain nombor satu dunia daripada Roger Federer pada kejohanan Cincinnati Masters, minggu depan.

Nadal kini dipisahkan daripada Federer dengan 300 mata dan jika dia menang di Cincinnati dan Federer pula tewas pada separuh akhir, Nadal dengan selesa merebut tempat pertama ranking dunia dan menamatkan era Federer sejak sekian lama.

Nadal menjadi pemain nombor dua dunia sejak Julai 2005.

"Setiap pemain bercita-cita menjadi pemain nombor satu, saya juga begitu. Namun saya masih lagi nombor dua dan saya gembira dengan keadaan ini," katanya.

Dalam pertemuan dengan Kiefer, ia langsung tidak menampakkan cita-cita Nadal untuk terus memburu kejayaan tersekat.

Nadal mudah memintas Kiefer pada permainan kelima dengan melepaskan bola 'drop' dan sekali lagi pada set kesembilan apabila Kiefer melakukan 'double fault'.

Namun Kiefer bangkit pada set kedua dan berpeluang memintas Nadal pada permainan kelima tetapi Nadal nyata terlalu kental buat pemain Jerman itu.

Berita-berita berkaitan:

Tenis: Nadal bakal tamatkan era Federer

Kiefer gagal tandingi kehebatan Nadal

Tenis: Rafael Nadal juara Piala Rogers