Wednesday, March 18, 2009

F1: Pasukan McLaren terus bergelut


PEMANDU Renault, Fernando Alonso mengenepikan pasukan Brawn daripada senarai teratas catatan masa terpantas Formula Satu sewaktu ujian terakhir pra-musim di Sepanyol ketika McLaren terus berdepan kesukaran.

Juara dunia dua kali dari Sepanyol itu, yang kenderaannya R29 terbabas pada hari pertama Ahad lalu, menamatkan 103 pusingan di litar Jerez dengan catatan terbaik satu minit 18.343 saat.

Pemandu Brazil, Rubens Barrichello, yang memandu bekas kereta Honda yang kini dinamakan Brawn GP sempena nama pemilik baru, Ross Brawn, mencatatkan 1:18.398s dengan rakan senegara dari Britain, Jenson Button merakam catatan ketiga terpantas dengan 1:18.892s.

“Saya cukup gembira kerana melakukan lebih daripada 100 pusingan yang sememangnya sasaran kami bagi hari terakhir ujian pada musim sejuk ini,” kata Alonso.

“Kami cukup bersedia untuk musim ini,” katanya.

Musim baru perlumbaan bermula di Melbourne pada 29 Mac dengan saingan di Malaysia akan menyusul seminggu selepas itu.

Barrichello, pencatat masa terpantas pada Ahad lalu, memandu Brawn pada sesi sebelah pagi sebelum menyerahkan kepada Button, yang aksinya terjejas akibat masalah kotak gear selepas 12 pusingan pada sebelah tengah hari.

Juara dunia Lewis Hamilton dari McLaren, yang pasukannya mengakui berdepan masalah dengan kereta baru yang kurang daya pecutan, menamatkan 87 pusingan dengan catatan terbaik 1:19.513s.

Pemandu Britain itu yang sedang menguji modifikasi baru aerodinamik, menduduki tempat keempat daripada lima pelumba yang melakukan ujian itu.

No comments: