Sunday, July 27, 2008

Nadal mara ke final Piala Rogers

Bakal bertemu Nicolas Kiefer dalam aksi final awal pagi esok

PEMAIN Sepanyol, Rafael Nadal berada di landasan tepat untuk merangkul gelaran ketujuh tahun ini selepas menewaskan Andy Murray 7-6 (2), 6-3 untuk mara ke perlawanan akhir Kejohanan Tenis Piala Rogers awal pagi ini.

Pemain pilihan kedua itu akan berdepan Nicolas Kiefer yang mara ke perlawanan akhir selepas menewaskan Gilles Simon dari Perancis 6-7 (4), 6-3, 7-6 (5) dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut bagi Nadal ke atas Murray selepas menyingkirkan pemain Britain itu pada peringkat suku akhir Kejohanan Wimbledon awal bulan lalu.

Nadal, yang menjuarai gelaran gelanggang keras pertama di Piala Rogers 2005, merangkul dua kejohanan Grand Slam, Terbuka Perancis dan Wimbledon, tahun ini.

Dia kini mempunyai rekod 28 kemenangan berturut-turut dalam semua pertandingan.

“Anda tahu, dia melakukan banyak perkara lebih baik kini daripada sebelum ini. Saya rasa dia bergerak lebih baik di gelanggang keras, dan saya rasa dia menukar kepantasan bola sedikit," kata Murray selepas gagal membalas dendam ke atas Nadal.

No comments: