Saturday, January 19, 2008

Chong Wei bergaya ke Final Terbuka Malaysia


Pemain nombor dua dunia, Lee Chong Wei menghadirkan keceriaan buat para peminat badminton tanahair apabila melangkah bergaya ke perlawanan akhir kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Malaysia selepas menundukkan pemain China, Chen Yu di separuh akhir petang tadi.

Kemaraan Chong Wei ternyata mengubati kekecewaan dialami kem negara selepas satu demi satu wakil kita tumbang kepada lawan masing-masing di peringkat awal lagi.

Pada perlawanan separuh akhir sebentar tadi, Chong Wei bermain cemerlang menewaskan Chen Yu yang merupakan pemain nombor sembilan dunia dan pilihan kelapan kejohanan dengan straight set 25-23, 21-11.

Kemenangan tersebut sekaligus menutup keaiban skuad negara apabila muncul satu-satunya wakil kita di perlawanan akhir esok apabila pemain wanita harapan, Wong Mew Choo tewas kepada pilihan ketiga, Zhu Lin 19-21, 12-21.

Pada aksi terakhir esok, Chong Wei dilihat berpeluang cerah untuk muncul juara di depan para penyokong sendiri apabila bakal berdepan pemain bukan pilihan dari Korea Selatan, Lee Hyun Ill.

Hyun Ill melangkah ke akhir apabila mengejutkan pilihan ketujuh dari Denmark, Kenneth Jonassen dalam perlawanan terus 21-15, 21-18.

Sementara itu, kem China menerima tamparan hebat apabila tiada seorang pun wakil dari negara itu akan turun ke gelanggang dalam acara lelaki esok apabila beregu harapan mereka, Cai Yun/Fu Haifeng tewas kepada beregu bukan pilihan juga dari Denmark, Laas Paaske/Jonas Rasmussen.

Pasangan nombor tiga dunia itu tewas dalam perlawanan sengit yang berlanjutan ke set penentuan, 16-21, 21-19, 17-21.

Menanti di perlawanan akhir esok ialah pemenang di antara Candra Wijaya/Tony Gunawan dan Markis Kido/Hendra Setiawan.

No comments: