Thursday, January 31, 2008

Bola Sepak Piala Jerman

Dua gol Klose bantu Bayern ke suku akhir

PEMAIN antarabangsa Jerman, Miroslav Klose kembali menyengat apabila dua gol jaringannya membantu pendahulu Bundesliga, Bayern Munich menewaskan pasukan bahagian tiga Wuppertal 5-2 untuk menempah tempat ke suku akhir saingan Bola Sepak Piala Jerman.

Wuppertal bagaimanapun tetap memberi saingan hebat dengan dua kali berjaya mengikat permainan di babak pertama tetapi jaringan babak kedua daripada Daniel van Buyten, Luca Toni dan Hamit Altintop memastikan kemenangan Bayern.

Klose menjaringkan gol pada minit ke-14 dan 27 tetapi Wuppertal bangkit dua kali menyamakan kedudukan. Gol Wuppertal dijaringkan Tobias Damm pada minit ke-26 dan Mahir Saglik pada minit ke-29.

"Selepas 2-2, kami jangkakan sukar," kata pengurus Bayern, Uli Hoeness. "Tetapi jurulatih kemudian memberi kata dua di dalam bilik persalinan dan ia bertukar lebih baik," katanya.

Sementara itu pesaing terdekat Munich dalam Bundesliga, Werder Bremen tersingkir daripada kejohanan apabila tewas 1-2 di tangan Borussia Dortmund. Pemain Brazil, Diego menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 buat Bremen, tetapi mensia-siakan satu lagi peluang keemasan yang hadir sejurus itu, sekali gus terlepas peluang untuk mengikat permainan.

Dalam perlawanan lain, pasukan bahagian dua Hoffenheim mengejutkan Hansa Rostock 2-1, manakala 1860 Munich bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Alemania Aachen 3-2.

No comments: