Monday, January 28, 2008

Raikkonen mahu akhiri kerjaya bersama Ferrari

JUARA dunia, Kimi Raikkonen menjangkakan dia tidak mungkin terus berada dalam senarai pasaran pemandu Formula Satu (F1).

Pemandu Finland berusia 28 tahun itu memberitahu akhbar Sepanyol, dia berkemungkinan menamatkan kariernya bersama Ferrari, sama ada pada penghujung musim 2009 atau selepas itu.

“Saya tidak dapat melihat sebarang sebab untuk meninggalkan pasukan ini,” kata Raikkonen, memberitahu Marca pada sesi ujian di Valencia, minggu ini. “Saya masih mempunyai kontrak selama dua tahun lagi tapi dalam kes saya, saya yakin Ferrari akan menjadi pasukan terakhir saya.”

Raikkonen turut menyatakan dia tidak bimbang dengan kehidupan selepas F1.

“Perkara paling pasti ialah pada satu hari nanti, saya akan berasakan satu keperluan untuk melakukan perkara lain. Saya mungkin melakukan beberapa perlumbaan rali atau perkara lain, saya tidak tahu. Saya akan melakukan apa yang saya suka, begitulah secara dasarnya,” katanya.

Dia enggan membuat sebarang spekulasi mengenai bila persaraannya bakal menjelma.

“Saya tidak tahu,” kata Raikkonen. “Buat masa sekarang, saya masih di sini dan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengubah hakikat itu.

“Apabila saya menamatkan kontrak saya bersama Ferrari, saya akan berumur 30 tahun dan ia akan menjadi masa untuk membuat keputusan sama ada meneruskannya atau sebaliknya,” kata Raikkonen.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Felipe Massa menyifatkan satu-satunya perkara yang tidak menyebelahinya dalam kejuaraan ini adalah nasib.

Pemandu Brazil itu menyamai pencapaian rakan pemandunya yang lebih diletakkan sandaran tinggi, Raikkonen pada awal musim 2007, sebelum mengambil keputusan memberi sokongan kepada pemandu Finland itu bagi memastikan kejayaan menjadi milik Ferrari.

Bagaimanapun, Massa menegaskan dia tidak akan meletakkan dirinya sebagai pemandu kedua terbaik bagi musim 2008.

“Saya akan mencabar untuk memburu gelaran. Itulah sasaran saya musim ini,” kata pemenang lima Grand Prix itu.

No comments: