Tuesday, January 15, 2008

Sengat Ronaldo masih berbisa



Gandingan trio Brazil 'Ka - Pa - Ro' benam Napoli

ROME: Sebarang keraguan mengenai sama ada bekas pemain terbaik dunia tiga kali, Ronaldo, masih menjadi kuasa bola sepak terhakis hanya dalam masa 45 minit kelmarin.

Itulah tempoh yang diperlukan oleh Ronaldo untuk menjaringkan dua gol dan membuka satu lagi jaringan bagi membantu AC Milan mencatatkan kemenangan pertamanya dalam Liga Serie A Italy musim ini.

Selepas seri lima kali, dua kalah dan hanya tiga gol pada separuh pertama musim ini, Napoli agak malang menjadi mangsa Milan yang mempamerkan kecemerlangannya bagi mencatatkan kemenangan 5-2.

Bagaimanapun, ia bukan segala-galanya tentang Ronaldo. Juara Eropah itu mempamerkan ketajaman kombinasi tiga penyerang Brazil 'Ka-Pa-Ro' (Kaka, Pato dan Ronaldo) bagi menyumbatkan lima gol.

Para penyokong mula bercakap tentang persamaan Milan abad ke-21 ini dengan kecemerlangan gandingan bintang-bintang Sweden 1950-an 'Gre-No-Li' (Gunnar Gren, Gunnar Nordahl dan Nils Liedholm), dan mereka tidak dikecewakan.

Tetapi yang paling menggembirakan jurulatih Milan, Carlo Ancelotti, ialah persembahan Ronaldo.

'Kami sungguh cemerlang, terutama sekali Ronaldo,' kata Ancelotti. 'Beliau membuktikan kemampuannya meskipun belum mencapai tahap kecergasan terbaiknya.

'Ronaldo mula berlatih pada 2 Januari selepas enam bulan dihantui masalah kecederaan. Saya gembira menyaksikan kecemerlangannya selepas beliau sekian lama dirundung malam.

Ancelotti terus meletakkan Pato dalam kesebelasan utamanya bagi menampilan sulungnya dan mengembalikan tempat Ronaldo meskipun penyerang yang dikenali sebagai 'gendut' semasa bersama Real Madrid hanya baru beraksi 45 minit dalam perlawanan persahabatan.

'Kami mengambil risiko dalam pendekatan serangan dan ini penting kerana kami perlu bangkit memungut mata,' tambah jurulatih Milan itu sambil merujuk kedudukan Milan di tangga ke-12 liga ini dan 12 mata di belakang mendahalu liga dan musuh ketatnya, Inter Milan.

Beliau juga puas hati dengan prestasi Pato meskipun penyerang berusia 18 tahun itu terkial-kial dalam separuh masa pertama. -- AFP.

No comments: