Thursday, January 24, 2008

Pemain Malaysia layu di Terbuka Korea

SKUAD badminton negara memulakan Kejohanan Siri Super Terbuka Korea dengan langkah sumbang apabila tiada seorang pun pemainnya berjaya melepasi pusingan kelayakan kelmarin.

Lebih memburukkan keadaan prestasi kurang konsisten terus dipamerkan pemain-pemain negara sebaik bermulanya pusingan pertama semalam.

Kecuali Juara Terbuka Malaysia, Lee Chong Wei, lain-lain wakil negara terus hanyut dan seorang demi seorang tumbang kepada lawan masing-masing.

Rasanya tidak keterlaluan dikatakan bahawa skuad negara ke Korea bolehlah dilabelkan sebagai skuad pelancong atau sekadar makan angin sahaja.

Dalam hal ini menarik juga jika kita membaca laporan yang dipetik daripada akhbar Harian Metro hari ini:

***********************
Harian Metro - 24 Jan 2008
Sekadar ‘makan angin’
Oleh Sufian Thauri Muhammed

PRESTASI mengecewakan dicatatkan kelompok besar pemain badminton negara apabila mereka gagal melepasi pusingan pertama Terbuka Korea, semalam.

Dalam acara perseorangan lelaki, cabaran Muhd Hafiz Hashim dan abangnya, Roslin, serta Sairul Amar Ayob, Yeoh Kay Bin dan Lee Tsuen Seng berakhir apabila tewas kepada lawan masing-masing.

Hafiz ternyata masih dibelenggu prestasi tidak konsisten apabila tunduk kepada pemain Indonesia, Simon Santoso, 21-12, 21-10 dalam masa 27 minit.

Keputusan itu pasti meletakkan peluangnya untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik dalam keadaan lebih tertekan terutama kerana pesaingnya Wong Choong Hann mencatatkan kemenangan.

Choong Hann menewaskan rakan senegara, Lee Tsuen Seng, 19-21, 21-16, 21-10 sekali gus memastikannya memungut lebih banyak mata kelayakan Olimpik.

Namun, harapannya untuk menambah mata tampak sukar kerana lawan yang bakal ditemuinya di pusingan kedua adalah pemain China, Bao Chunlai, hari ini. Pada pusingan kedua Terbuka Malaysia minggu lalu, Choong Hann tewas kepada Chunlai.

Roslin yang turut memburu tempat ke Olimpik turut gagal dalam misinya apabila tunduk kepada pemain Jepun, Shoji Sato, 21-16, 21-17.

Begitupun, kecemerlangan juara Terbuka Malaysia empat kali, Lee Chong Wei berterusan apabila dia tidak menghadapi banyak masalah untuk menundukkan pemain Kanada, Andrew Dabaka 21-9, 21-9.

Dia akan bertemu lawan yang ditewaskannya di final Terbuka Malaysia, Lee Hyun-il pada pusingan kedua.

Persembahan perseorangan wanita, Wong Mew Choo yang layak ke separuh akhir Terbuka Malaysia pula mengecewakan apabila dia tunduk kepada pemain tuan rumah, Lee Yun Hwa, 21-11, 21-16.

Namun, seorang lagi perseorangan wanita negara, Julia Wong meneruskan kemaraan selepas mengatasi pemain Thailand, Salakjit Ponsana, 21-16, 21-15. Dia berhadapan ujian getir untuk melepasi pusingan kedua kerana bertemu pilihan kedua dari China, Zhang Ning.

Dua beregu negara, Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari dan Chew Choon Eng-Chan Chong Ming menepati sasaran apabila melangkah ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing.

Zakry-Fairuzizuan akan berhadapan lawan yang ditewaskannya di pusingan pertama Terbuka Malaysia, Luluk Hadiyanto-Chandra Alvent Yulianto dari Indonesia dan mereka perlu lebih berhati-hati kerana sudah tentu keazaman beregu Indonesia itu untuk membalas dendam kekalahan lebih tinggi kali ini.

Choon Eng-Chong Ming pula akan menentang pilihan ketiga, Jung Jae Sung-Lee Yong Dae dari Korea dan mereka perlu beraksi pada tahap terbaik untuk menghidupkan peluang melangkah ke suku akhir.

No comments: