Monday, January 14, 2008

Li Mao dedah sebab beliau tinggalkan BAM

Pengakuan bekas jurulatih badminton negara

"Pemergian saya sebelumnya kerana dalam skuad Malaysia, ianya terlalu rumit. Tiada perpaduan dalam pasukan. Sikap pentingkan diri sendiri amat ketara.

"Kini bersama Korea Selatan, semua pemain bersatu sebagai satu pasukan. Dulu di Malaysia, pemain perseorangan dan beregu mengasingkan diri. Ada sikap terlalu individualistik. Semuanya mahu lakukan perkara sendiri.

"Malah saya rasakan seolah-olah ada rasa iri hati. Jika pemain perseorangan mencapai keputusan baik, ia mungkin mencetus rasa tidak puas hati pemain-pemain beregu," katanya.

Pendedahan itu dinyatakannya ketika ditemui wartawan Berita Harian, selepas latihan skuad Korea Selatan di Stadium Putra, petang semalam, sebagai menghadapi Siri Super Terbuka Malaysia, bermula Rabu ini.

Tindakan itu sekali gus turut menenggelamkan berita juara bertahan, Peter Gade Christiensen, menarik diri kerana memilih bersama ahli keluarganya yang sakit di Denmark.

"Saya tidak punya perselisihan faham dengan Chong Wei. Malah hubungan kami amat baik. Tetapi kerumitan yang terpaksa dihadapi memaksa saya untuk tidak menyambung khidmat bersama Malaysia," katanya.

Kerumitan dimaksudkannya termasuk permintaan bebas memilih pemain daripada skuad pelapis ataupun Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) yang tidak dibenarkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

"Di negara lain, jurulatih skuad utama bebas memilih pemain daripada pelapis ataupun program latihan lain. Tetapi tidak di Malaysia. Saya berdepan kesukaran kerana tidak diberikan pemain tambahan untuk dilatih.

"Satu lagi situasi ialah pemain-pemain berpengalaman tidak membimbing pemain lebih muda. Kerana itu, jika situasi ini berterusan, saya tidak hairan Malaysia tidak punya pemain mampu mencabar di pentas utama, beberapa tahun lagi," katanya.

Li Mao sebelumnya dipancing BAM pada 2005 dalam usaha memantapkan persembahan Chong Wei selain membantu melakar peningkatan kepada pemain wanita utama, Wong Mew Choo.

Selepas meninggalkan Malaysia, hujung Januari tahun lalu, kelibat Li Mao tidak kelihatan kerana memilih kekal di Korea Selatan. Kebetulan, Terbuka Malaysia kali ini kali pertama dia ke luar negara bersama skuad negara itu.

Di Terbuka Malaysia kali ini, Li Mao tidak meletakkan harapan tinggi kepada dua anak buahnya, Park Sung-hwan dan Lee Hyun-il kerana sasaran utama ialah mengutip mata untuk kelayakan ke Sukan Olimpik, Ogos nanti.

"Ketika ini, harapan utama ialah Sung-hwan kerana dia punya potensi dan mampu mencipta kejutan terhadap pemain-pemain utama dunia. Hyun-il pula belum mencecah tahap terbaiknya," katanya.

No comments: