Sunday, January 20, 2008

Li Mao senjata sulit Hyun Il berdepan Chong Wei

Badminton Siri Super Terbuka Malaysia 2008

LEE Chong Wei akan lebih berwaspada apabila menentang Lee Hyun Il pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia hari ini memandangkan pemain Korea Selatan itu memiliki ‘senjata rahsia’ iaitu jurulatihnya, Li Mao.

Jurulatih dari China itu meninggalkan Chong Wei secara mengejut pada awal 2007, tetapi kembali ke Malaysia tahun ini, namun hanya sebagai jurulatih perseorangan Korea Selatan.

Bagi Chong Wei, bukan soal sentimen yang bermain dalam fikirannya, tetapi memikirkan apa kelebihan yang dimiliki oleh Hyun Il kerana Li Mao sebagai bekas jurulatihnya pasti menurunkan sebanyak mungkin ilmu kepada anak didiknya itu.

“Li Mao tahu apa kekuatan dan kelemahan saya, sudah tentu dia akan menggunakan semua pengetahuannya mengenai permainan saya itu untuk memastikan kemenangan Hyun Il, jadi saya harus menjangkakan sesuatu yang sukar esok (hari ini).

“Apa pun, saya sudah melakukan persiapan terbaik untuk menghadapi kejohanan ini, menghadapi sebarang kemungkinan. Kita tunggu dan lihat saja apa yang akan berlaku, saya pasti ia akan menjadi perlawanan yang menarik,” kata Chong Wei.

Chong Wei, yang menyingkirkan pemain muda China, Chen Jun 25-23, 21-11 dalam separuh akhir semalam, kalah pada pertemuan terakhirnya dengan Hyun Il, dalam acara berpasukan pada Sukan Asia di Doha, 2006.

Sejak itu, dia yang turut tewas dalam lima daripada sembilan pertemuan kedua-dua pemain sejak 2003 tidak pernah bertemu bekas pemain nombor satu Korea Selatan itu, yang menundukkan jaguh Denmark, Kenneth Jonassen 21-15, 21-18 dalam satu lagi saingan separuh akhir.

Jika berjaya memenangi perlawanan hari ini, ia akan menjadi kejuaraan Terbuka Malaysia keempat buat Chong Wei, yang memenanginya buat kali pertama pada 2004, diikuti 2005 dan 2006.

Malah, ia menjadi pembuka tirai yang paling positif sebelum meneruskan cabaran 2008 yang dianggap amat mencabar dengan Sukan Olimpik Beijing menanti pada 8-24 Ogos ini manakala Piala Thomas pula akan berlangsung, Mei ini.

Chong Wei menjadi wakil tunggal negara yang akan beraksi pada perlawanan akhir hari ini selepas seorang lagi pemainnya, Wong Mew Choo terkandas di separuh akhir perseorangan wanita.

Mew Choo, naib juara tahun lalu tumpas kepada pemain yang mengecewakannya pada final 2007, Zhu Lin dari China 19-21, 12-21, sekali gus menghampakan hasrat untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir buat tahun kedua berturut-turut.

Sementara itu, bekas juara dunia, Lars Paaske-Jonas Rasmussen meneruskan siri kejutan di Stadium Putra apabila membenam bekas beregu nombor satu dunia, Fu Haifeng-Cai Yun dari China 21-16, 19-21, 21- 17.

No comments: