Monday, January 28, 2008

Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008

Cameroon hidupkan peluang ke suku akhir

JUARA empat kali, Cameroon kembali bernafas dalam kempen Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2008 selepas mencatat kemenangan selesa, membelasah Zambia 5-1 dengan penyerang bintang, Samuel Eto’o menyamai jaringan terbanyak sepanjang zaman dalam kejohanan itu.

Cameroon tunduk 4-2 pada pencabar utama Kumpulan C dan juara bertahan, Mesir pada perlawanan pertama, tapi mereka kembali bangkit dengan aksi bergaya semalam.

Pencapaian itu sekali gus membuka satu lagi kejayaan membanggakan secara peribadi buat Eto’o, yang pernah muncul Pemain Terbaik Afrika tiga kali, menyamai jaringan terbanyak kejohanan itu yang dilakukan pemain Ivory Coast, Laurent Pokou dengan 14 gol selepas menyumbat masuk sepakan penalti minit ke-65.

Ia juga jaringan ketiga Eto’o, penyerang Barcelona, dalam kejohanan ini yang diadakan setiap dua tahun itu.

Jurulatih Cameroon, Otto Pfister memuji pasukannya yang kembali berada pada landasan saingan.

“Kami menang perlawanan itu tapi masih banyak perlu dilakukan,” kata Pfister. “Kami tewas perlawanan pertama kepada Mesir kerana kekurangan disiplin di atas padang, tapi kami dapat mengatasi kelemahan itu sekarang.”

Rakan sejawatannya yang mengendalikan Zambia, Patrick Phiri berkata, beliau kecewa dengan benteng pertahanan yang memberikan lawan mereka peluang menjaringkan gol.

“Kami membuat persediaan baik untuk kejohanan ini di Sepanyol, Tunisia dan Maghribi dan benteng pertahanan kami adalah bahagian terkuat sejak kali pertama saya mengambil alih pasukan ini sejak satu setengah tahun lalu, tapi kali ini mereka mengecewakan kami,” kata Phiri.

“Cameroon bernasib baik kerana kami mencipta semua jaringan untuk mereka. Pemain saya mungkin takut dengan beberapa nama besar dalam skuad lawan.”

Pasukan digelar “Singa Sukar Dijinakkan” itu mendahului pada minit ke-27 melalui sepakan percuma Geremi Njitap sebelum menambah jaringan lima minit kemudian apabila Desire Job menemui sasaran.

Benteng longgar Zambia sekali lagi membiarkan penyerang Toulouse, Achilles Emana menjaringkan gol ketiga pasukannya sebelum waktu rehat.

Malapetaka lebih buruk menyaksikan Cameroon menjaringkan gol kelima mereka apabila Job menyumbat gol pada minit ke-81 untuk jaringan keduanya pada perlawanan itu.

Christopher Katongo menjaringkan gol sagu hati bagi Zambia pada minit ke-89.

Dalam satu lagi perlawanan, Mesir membenam Sudan 3-0 untuk menghampiri slot suku akhir Piala Afrika.

Hosni Abd Rabou meledak jaringan pertama melalui sepakan penalti pada minit ke-28 selepas dia dikasari dalam kotak penalti oleh penjaga gol Sudan, Elmuiz Abdalla.

Amr Zaki mencipta peluang bagi pemain Mohamed Aboutreika untuk jaringan kedua pada minit ke-78 sebelum Aboutreika menjaringkan gol keduanya hasil satu larian solo pada m-82.

Mesir mendahului Kumpulan C dengan enam mata, tiga mengatasi Cameroon dan Zambia. Sudan tidak mempunyai sebarang mata.

Mesir hanya memerlukan seri menentang Zambia pada perlawanan terakhirnya, Rabu ini di Kumasi untuk melayakkan diri.

No comments: