Thursday, January 31, 2008

Badminton: Ranking Dunia Terkini

Ranking Dunia
Tarikh: 31 Jan 2008
Perseorangan Lelaki


Ranking

Pemain

Negara

Mata

1.

Lin Dan

CHN

83995

2.

Lee Chong Wei

MAL

78989

3.

Bao Chunlai

CHN

66390

4.

Chen Jin

CHN

61900

5.

Kenneth Jonassen

DEN

57644

6.

Sony Dwi Kuncoro

INA

57380

7.

Taufik Hidayat

INA

57048

8.

Peter Gade

DEN

56483

9.

Chen Yu

CHN

53180

10.

Simon Santoso

INA

48400

11.

Boonsak Ponsana

THA

46015

12.

Park Sung Hwan

KOR

45431

13.

Chen Hong

CHN

44720

14.

Lee Hyun Il

KOR

42730

15.

Wong Choong Hann

MAL

40730

16.

Wacha Perzemyslaw

POL

40240

17.

Shoji Sato

JPN

39633

18.

Lee Tsuen Seng

MAL

37020

19.

Chan Yan Kit

HKG

36166

20.

Kendrick Lee

SIN

36142

Jazeman dapat balik gelaran Asia

Malaysia disah juara kategori pemandu, pasukan

PETALING JAYA (Utusan Malaysia) - Pelumba muda negara, Jazeman Jaafar mendapat balik gelaran juara Formula BMW Asia 2007.

Keputusan itu dibuat oleh Persekutuan Automotif Antarabangsa (FIA), semalam dan mengarahkan penganjur supaya menyenaraikan semula namanya dan pasukan CIMB Qi-Meritus yang diwakilinya dalam senarai keputusan kejohanan dan siri berkenaan.

‘‘Pada pukul 2 pagi ini (semalam), kami diberitahu perkara tersebut oleh FIA. Keputusan mereka (FIA) adalah berdasarkan kepada tiada keputusan dibuat selepas kami mengemukakan rayuan.

‘‘FIA berpendapat oleh kerana rayuan tidak mendapat maklum balas dari bidang kuasa perundangan tempatan, maka Jazeman dan pasukan kami telah diberi semula gelaran selaku juara pemandu dan juara pasukan Formula BMW Asia 2007.

‘‘Kami gembira dengan berita ini,’’ kata ketua pasukan CIMB Qi-Meritus, Peter Thompson pada satu sidang akhbar di sini, semalam.

Rayuan dikemukakan berdasarkan kepada beberapa perkara terutama berkaitan soal keputusan teknikal yang dibuat di Zhuhai yang terdapat kecacatan dan kesilapan.

Jazeman, 14, sentiasa mempamerkan aksi cemerlang sepanjang musim lepas, namun beliau dan pasukannya merasa kecewa apabila gelaran juara yang dimenanginya dan pasukannya pada perlumbaan ke-22 di Litar Antarabangsa Zuhai, China dibatalkan atas alasan terdapat komponen yang tidak dibenarkan pada kereta lumba beliau.

Dengan keputusan FIA itu, pasukan Malaysia kini sah sebagai juara kategori pemandu dan pasukan bagi Formula BMW Asia Series 2007. - Utusan

Bola Sepak Piala Jerman

Dua gol Klose bantu Bayern ke suku akhir

PEMAIN antarabangsa Jerman, Miroslav Klose kembali menyengat apabila dua gol jaringannya membantu pendahulu Bundesliga, Bayern Munich menewaskan pasukan bahagian tiga Wuppertal 5-2 untuk menempah tempat ke suku akhir saingan Bola Sepak Piala Jerman.

Wuppertal bagaimanapun tetap memberi saingan hebat dengan dua kali berjaya mengikat permainan di babak pertama tetapi jaringan babak kedua daripada Daniel van Buyten, Luca Toni dan Hamit Altintop memastikan kemenangan Bayern.

Klose menjaringkan gol pada minit ke-14 dan 27 tetapi Wuppertal bangkit dua kali menyamakan kedudukan. Gol Wuppertal dijaringkan Tobias Damm pada minit ke-26 dan Mahir Saglik pada minit ke-29.

"Selepas 2-2, kami jangkakan sukar," kata pengurus Bayern, Uli Hoeness. "Tetapi jurulatih kemudian memberi kata dua di dalam bilik persalinan dan ia bertukar lebih baik," katanya.

Sementara itu pesaing terdekat Munich dalam Bundesliga, Werder Bremen tersingkir daripada kejohanan apabila tewas 1-2 di tangan Borussia Dortmund. Pemain Brazil, Diego menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-82 buat Bremen, tetapi mensia-siakan satu lagi peluang keemasan yang hadir sejurus itu, sekali gus terlepas peluang untuk mengikat permainan.

Dalam perlawanan lain, pasukan bahagian dua Hoffenheim mengejutkan Hansa Rostock 2-1, manakala 1860 Munich bangkit selepas ketinggalan dua gol untuk menewaskan Alemania Aachen 3-2.

Monday, January 28, 2008

Bola Sepak Piala Negara Afrika 2008

Cameroon hidupkan peluang ke suku akhir

JUARA empat kali, Cameroon kembali bernafas dalam kempen Kejohanan Piala Negara-Negara Afrika 2008 selepas mencatat kemenangan selesa, membelasah Zambia 5-1 dengan penyerang bintang, Samuel Eto’o menyamai jaringan terbanyak sepanjang zaman dalam kejohanan itu.

Cameroon tunduk 4-2 pada pencabar utama Kumpulan C dan juara bertahan, Mesir pada perlawanan pertama, tapi mereka kembali bangkit dengan aksi bergaya semalam.

Pencapaian itu sekali gus membuka satu lagi kejayaan membanggakan secara peribadi buat Eto’o, yang pernah muncul Pemain Terbaik Afrika tiga kali, menyamai jaringan terbanyak kejohanan itu yang dilakukan pemain Ivory Coast, Laurent Pokou dengan 14 gol selepas menyumbat masuk sepakan penalti minit ke-65.

Ia juga jaringan ketiga Eto’o, penyerang Barcelona, dalam kejohanan ini yang diadakan setiap dua tahun itu.

Jurulatih Cameroon, Otto Pfister memuji pasukannya yang kembali berada pada landasan saingan.

“Kami menang perlawanan itu tapi masih banyak perlu dilakukan,” kata Pfister. “Kami tewas perlawanan pertama kepada Mesir kerana kekurangan disiplin di atas padang, tapi kami dapat mengatasi kelemahan itu sekarang.”

Rakan sejawatannya yang mengendalikan Zambia, Patrick Phiri berkata, beliau kecewa dengan benteng pertahanan yang memberikan lawan mereka peluang menjaringkan gol.

“Kami membuat persediaan baik untuk kejohanan ini di Sepanyol, Tunisia dan Maghribi dan benteng pertahanan kami adalah bahagian terkuat sejak kali pertama saya mengambil alih pasukan ini sejak satu setengah tahun lalu, tapi kali ini mereka mengecewakan kami,” kata Phiri.

“Cameroon bernasib baik kerana kami mencipta semua jaringan untuk mereka. Pemain saya mungkin takut dengan beberapa nama besar dalam skuad lawan.”

Pasukan digelar “Singa Sukar Dijinakkan” itu mendahului pada minit ke-27 melalui sepakan percuma Geremi Njitap sebelum menambah jaringan lima minit kemudian apabila Desire Job menemui sasaran.

Benteng longgar Zambia sekali lagi membiarkan penyerang Toulouse, Achilles Emana menjaringkan gol ketiga pasukannya sebelum waktu rehat.

Malapetaka lebih buruk menyaksikan Cameroon menjaringkan gol kelima mereka apabila Job menyumbat gol pada minit ke-81 untuk jaringan keduanya pada perlawanan itu.

Christopher Katongo menjaringkan gol sagu hati bagi Zambia pada minit ke-89.

Dalam satu lagi perlawanan, Mesir membenam Sudan 3-0 untuk menghampiri slot suku akhir Piala Afrika.

Hosni Abd Rabou meledak jaringan pertama melalui sepakan penalti pada minit ke-28 selepas dia dikasari dalam kotak penalti oleh penjaga gol Sudan, Elmuiz Abdalla.

Amr Zaki mencipta peluang bagi pemain Mohamed Aboutreika untuk jaringan kedua pada minit ke-78 sebelum Aboutreika menjaringkan gol keduanya hasil satu larian solo pada m-82.

Mesir mendahului Kumpulan C dengan enam mata, tiga mengatasi Cameroon dan Zambia. Sudan tidak mempunyai sebarang mata.

Mesir hanya memerlukan seri menentang Zambia pada perlawanan terakhirnya, Rabu ini di Kumasi untuk melayakkan diri.

Raikkonen mahu akhiri kerjaya bersama Ferrari

JUARA dunia, Kimi Raikkonen menjangkakan dia tidak mungkin terus berada dalam senarai pasaran pemandu Formula Satu (F1).

Pemandu Finland berusia 28 tahun itu memberitahu akhbar Sepanyol, dia berkemungkinan menamatkan kariernya bersama Ferrari, sama ada pada penghujung musim 2009 atau selepas itu.

“Saya tidak dapat melihat sebarang sebab untuk meninggalkan pasukan ini,” kata Raikkonen, memberitahu Marca pada sesi ujian di Valencia, minggu ini. “Saya masih mempunyai kontrak selama dua tahun lagi tapi dalam kes saya, saya yakin Ferrari akan menjadi pasukan terakhir saya.”

Raikkonen turut menyatakan dia tidak bimbang dengan kehidupan selepas F1.

“Perkara paling pasti ialah pada satu hari nanti, saya akan berasakan satu keperluan untuk melakukan perkara lain. Saya mungkin melakukan beberapa perlumbaan rali atau perkara lain, saya tidak tahu. Saya akan melakukan apa yang saya suka, begitulah secara dasarnya,” katanya.

Dia enggan membuat sebarang spekulasi mengenai bila persaraannya bakal menjelma.

“Saya tidak tahu,” kata Raikkonen. “Buat masa sekarang, saya masih di sini dan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengubah hakikat itu.

“Apabila saya menamatkan kontrak saya bersama Ferrari, saya akan berumur 30 tahun dan ia akan menjadi masa untuk membuat keputusan sama ada meneruskannya atau sebaliknya,” kata Raikkonen.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Felipe Massa menyifatkan satu-satunya perkara yang tidak menyebelahinya dalam kejuaraan ini adalah nasib.

Pemandu Brazil itu menyamai pencapaian rakan pemandunya yang lebih diletakkan sandaran tinggi, Raikkonen pada awal musim 2007, sebelum mengambil keputusan memberi sokongan kepada pemandu Finland itu bagi memastikan kejayaan menjadi milik Ferrari.

Bagaimanapun, Massa menegaskan dia tidak akan meletakkan dirinya sebagai pemandu kedua terbaik bagi musim 2008.

“Saya akan mencabar untuk memburu gelaran. Itulah sasaran saya musim ini,” kata pemenang lima Grand Prix itu.

Sunday, January 27, 2008

Tenis Terbuka Australia 2008 - Final

Djokovic muncul juara baru Terbuka Australia


PEMAIN tenis nombor tiga dunia, Novak Djokovic merangkul kejuaraan Grand Slam pertama dalam kariernya selepas menghampakan pemain sensasi dari Perancis, Jo-Wilfred Tsonga dalam aksi kemuncak Kejohanan Tenis Terbuka Australia lewat petang ini.

Djokovic yang berjaya menamatkan rekod 10 penampilan final Grand Slam berturut-turut pemain nombor satu dunia, Roger Federer pada aksi separuh akhir kelmarin, bangkit daripada kekalahan di set pertama untuk membenam pemain bukan pilihan itu dengan keputusan penuh 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 (7-2).

Tsonga, yang sebelum ini mengejutkan beberapa nama besar jaguh tenis dunia termasuk pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal seakan mampu mencipta satu lagi kejutan apabila berjaya memenangi set pertama 6-4.

Djokovic bagaimanapun berjaya mematahkan servis pertama Tsonga di set kedua untuk terus menguasai hingga akhir permainan.

Pada set ketiga tidak banyak yang mampu dilakukan pemain Perancis itu untuk membalas pukulan bertenaga Djokovic sebelum tewas 3-6.

Pada set keempat kedua-dua pemain gagal mematahkan servis pihak lawan hingga memaksa permainan ditentukan menerusi tie-break.

Bagaimanapun Tsonga kelihatan kurang bertenaga untuk menyerah mudah 2-7 untuk memberikan kemenangan bersejarah buat pemain Serbia itu.

Ini adalah kali kedua Djokovic beraksi di pentas final kejohanan Grand Slam selepas Terbuka Amerika tahun lalu.

Badminton Terbuka Korea 2008 - Final

Tuan rumah gondol dua kejuaraan
Lin Dan Tewas di tangan Hyun Il

JAGUH tuan rumah, Lee Hyun Il berjaya menebus kekalahannya kepada pemain Malaysia, Lee Chong Wei pada Final Terbuka Malaysia minggu lalu dengan muncul juara Kejohanan Siri Super Terbuka Korea yang berakhir petang tadi.

Pemain bukan pilihan itu muncul juara selepas menundukkan penyandang juara yang juga pemain nombor satu dunia, Lin Dan dalam tiga set 4-21, 23-21, 23-21.

Pada kejohanan sama tahun lalu, Hyun Il gagal menepati status pilihannya selepas tersingkir seawal pusingan pertama di tangan pemain Malaysia, Lee Tsuen Seng.

Sementara itu beregu China, Cai Yun/Fu Haifen mengungguli acara beregu lelaki selepas menundukkan pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto juga dalam tiga set.

Pilihan kedua kejohanan itu menang 21-7, 20-22, 21-17 dalam tempoh 53 minit.

Keputusan penuh perlawanan akhir:

Perseorangan Lelaki

Lee Hyun Il (KOR) mn Lin Dan x1 (CHN)

4-21, 23-21, 23-21

Beregu Lelaki

Cai Yun/Fu Haifen x2 (CHN) mn Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto x6 (INA)

21-7, 20-22, 21-17

Perseorangan Wanita

Zhou Mi (HKG) mn Lu Lan x3 (CHN)

21-18, 15-21, 21-15

Beregu Wanita

Du Jin/Yu Yang x4 (CHN) mn Gao Ling/ Zhao Tingting (CHN)

21-15, 21-13

Beregu Campuran

Lee Yong Dae/Lee Hyo Jung (KOR) mn Flandi Limpele/Vita Marissa x4 (INA)

15-21, 21-14, 21-18

Badminton Terbuka Korea 2008 - Separuh Akhir

Lin Dan jumpa Hyun Il di Final Terbuka Korea

PEMAIN nombor satu dunia, Lin Dan akan bertemu jaguh tuan rumah, Lee Hyun Il pada saingan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Korea selepas menundukkan pemain Denmark, Peter Gade di separuh akhir.

Pilihan utama kejohanan itu yang tidak menyertai Terbuka Malaysia minggu lalu menang mudah 21-12, 21-14.

Manakala Hyun Il juga menewaskan seorang lagi pemain Denmark, Kenneth Jonassen 21-11, 21-19.

Kemenangan tersebut menyaksikan kebangkitan semula pemain harapan tuan rumah itu apabila muncul di aksi akhir dua kejohanan berturut-turut.

Pada kejohanan Terbuka Malaysai beliau tewas kepada pemain Malaysia di aksi final.

Sementara itu final acara beregu menyaksikan pertemuan antara pasangan Indonesia, Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto dan pilihan kedua dari China, Fu Haifen/Cai Yun.

Pada separuh akhir semalam pasangan Indonesia itu menewaskan beregu Denmark, Lars Paaske/Jonas Rasmussen 21-16, 21-13.

Manakala Fu Haifen/Cai Yun menewaskan satu lagi pasangan Denmark, Mathias Boe/Carsten Mogensen 21-18, 19-21, 21-18.