Friday, March 7, 2008

Badminton: Kejutan All England 2008

Dua juara bertahan tersingkir di pusingan pertama

KEJOHANAN Badminton Seluruh England yang memasuki pusingan suku akhir bermula tengah malam ini menyajikan beberapa kejutan baik bahagian lelaki mahupun wanita.

Kejutan paling besar ialah tumbangnya dua juara bertahan kejohanan seawal pusingan pertama, iaitu beregu lelaki dari Malaysia, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong dan perseorangan wanita China, Xie Xinfang.

Pasangan Malaysia yang diletakkan selaku pilihan ketiga tewas kepada beregu Jepun, Shintaro Ikeda/Shuichi Sakamoto dalam dua set, 18-21, 19-21.

Xinfang pula yang juga pemain nombor satu dunia tewas kepada pemain kurang ternama dari Hong Kong Yip Pui Yin, juga dalam dua set 20-22, 19-21.

Turut menerima kejutan pasangan nombor dua dunia dari Indonesia, Markis Kido/Hendra Setiawan yang tewas mengejut kepada beregu bukan pilihan dari Jepun, Keita Masuda/Tadashi Ohtsuka 19-21, 9-21.

Tidak terhenti setakat itu apabila kejutan turut berlaku di pusingan kedua. Kali ini pasangan nombor satu dunia dari China, Fu Haifeng/Cai Yun pula menjadi mangsa.

Pilihan utama dalam acara beregu lelaki itu tumbang kepada pasangan nombor 18 dunia dari Hong Kong, Albertus Susanto/Yohan Hadikusumo. Pasangan Hong Kong itu menewaskan Fu Haifeng/Cai Yun dalam tiga set 24-22, 7-21, 21-18.

Kekalahan pasangan China itu bermakna semua tiga beregu yang menduduki ranking teratas dunia tersingkir dari kejohanan kali ini.

Turut tersingkir di pusingan kedua beregu pilihan kelima dari Indonesia, Tony Gunawan/Candra Wijaya yang tunduk kepada pasangan Korea, Lee Jae Jin/Hwang Ji Man 9-21, 17-21.

Sandaran Indonesia dalam acara beregu lelaki kini terpikul di bahu pasangan kelapan dunia, Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto. Manakala dalam acara perseorangan harapan Indonesia diteruskan oleh Juara Olimpik, Taufik Hidayat.

secara kebetulan kedua-dua wakil Indonesia akan berdepan dengan pemain Malaysia di peringkat suku akhir tengah malam nanti. Perseorangan utama Malaysia, Lee Chong Wei menanti Taufik Hidayat, manakala Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto akan berdepan dengan pilihan keempat, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah.

Selain Xinfang selaku pilihan utama, pilihan kedua perseorangan wanita, Zhang Ning turut terkandas di pusingan awal kepada pemain Belanda, Yao Jie 15-21, 21-19, 19-21.

Sementara itu dalam acara beregu campuran hanya pilihan ketiga dari Indonesia, Flandy Limpele/Vita Marissa tersingkir awal. Pasangan itu tewas kepada beregu campuran tuan rumah, Robert Blair yang bergandingan dengan pemain Scotland, Imogen Bankier.

No comments: