Thursday, March 6, 2008

Badminton All England: Skuad negara pamer aksi terburuk

Penyandang juara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong tersingkir awal

SKUAD badminton Malaysia bermula dengan rentak sumbang di Kejohanan Badminton Seluruh England apabila hanya Lee Chong Wei berjaya melepasi pusingan pertama dalam acara perseorangan lelaki, manakala juara bertahan kejohanan dalam acara beregu, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong turut terkandas pada pusingan awal.

Beregu veteran, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah adalah satu-satunya pasangan Malaysia yang mara ke pusingan kedua dalam bahagian beregu lelaki. Manakala pemain tunggal Malaysia dalam perseorangan wanita, Wong Mew Choo tidak menghadapi masalah untuk melepasi halangan awal.

Turut mara ke pusingan kedua pasangan Wong Pei Tty/Chin Eei Hui dalam acara beregu wanita. Satu lagi beregu wanita negara, Lim Pek Siah/Haw Chiou Hwee terkandas di pusingan pertama kepada pasangan Indonesia Nitya Krishinda/Lita Nurlita.

Satu-satunya pasangan yang beraksi dalam acara beregu campuran, Tan Wee Kiong/Woon Khe Wei turut gagal meneruskan kemaraan. Bagaimanapun mereka memberikan tentangan sengit sebelum tunduk 21-13, 17-21, 18-21 kepada beregu England Anthony Clark/Donna Kellog.

Skuad Malaysia yang dibarisi enam pemain dalam perseorangan lelaki mempersembahkan aksi terburuk mereka apabila satu demi satu pemain tunduk kepada lawan masing-masing, kecuali perseorangan utama negara, Lee Chong Wei yang menundukkan rakan senegara, Sairul Amar Ayob 21-16, 21-14 untuk ke pusingan kedua.

Paling mengecewakan pemain kontroversi, Muhammad Hafiz Hashim yang tewas mudah kepada pemain China, Bao Chunlai 19-21, 11-21. Abangnya, Muhammad Roslin turut mengecewakan apabila tewas kepada pemain kurang ternama dari Denmark, Joachim Persson 15-21, 21-17, 9-21.

Bekas pemain nombor satu negara, Wong Choong Hann juga tewas kepada pemain kurang ternama dari Poland Przemyslaw Wacha 12-21, 14-21. Manakala seorang lagi pemain veteran Lee Tsuen Seng tunduk kepada wakil Belanda, Eric Pang 21-10, 20-22, 15-21.

Dalam bahagian beregu, pasangan nombor satu negara yang juga penyandang juara, Koo Kien Keat/Tan Boon Heong terus mempamer aksi buruk apabila gagal melepasi halangan awal kejohanan selepas tunduk kepada pasangan Jepun, Shintaro Ikeda/Shuichi Sakamoto 18-21, 19-21.

No comments: