Saturday, March 8, 2008

Badminton All England: Chong Wei, beregu mara

China kuasai tiga tempat separuh akhir

PERSEORANGAN utama Malaysia, Lee Chong Wei terus mengibarkan cabaran negara pada Kejohanan Badminton All England apabila mara ke separuh akhir dengan menewaskan pemain Indonesia, Taufik Hidayat dalam dua set 23-21, 21-12, di suku akhir awal pagi tadi.

Turut mara pasangan veteran, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah setelah berjaya menewaskan pasangan senegara Taufik, Luluk Hadiyanto/Alvent Yulianto. Pasangan negara menang 21-15, 21-15

Lawan Chong Wei pada separuh akhir pagi esok ialah pilihan keempat dari China, Chen Jin yang menewaskan seorang lagi pemain Indonesia, Sony Dwi Kuncoro juga dalam dua set. Chen Jin menang 21-14, 21-12.

Kemenangan Chen Jin dan kekalahan beregunya kepada pasangan Malaysia bermakna saingan Indonesia dalam bahagian lelaki kejohanan kali ini berakhir.

Sebaliknya China menguasai pusingan separuh akhir dalam acara perseorangan lelaki apabila dua lagi pemain utamanya, Lin Dan dan Bao Chunlai turut menang ke atas lawan masing-masing.

Bagaimanapun hasrat China untuk membolot semua kejuaraan tidak kesampaian apabila kesemua pasangan beregunya tewas di pusingan pertama, termasuk pilihan utama, Cai Yun/Fu Haifen.

Pada saingan separuh akhir nanti pasangan Malaysia akan menanti pemenang antara pasangan Jepun, Keita Masuda/Tadashi Ohtsuka atau pilihan keenam dari Korea, Lee Yong Dae/Jung Jae Sung.

Dua lagi slot separuh akhir belum dapat ditentukan kerana perlawanan belum lagi berakhir.

No comments: