Friday, February 1, 2008

Catatan rekod Kejohanan Tenis Terbuka Australia 2008

Pemain Perancis, Jo Wilfried-Tsonga paling mencuri tumpuan

KEJOHANAN Tenis Terbuka Australia yang berakhir Ahad lepas mencatat rekod baru kehadiran penonton dengan jumlah keseluruhan 584,476 orang sepanjang 13 hari kejohanan berlangsung.

Jumlah berkenaan mengatasi rekod lama seramai 554,858 penonton yang dicatat tahun lepas. Ini juga tahun kesembilan berturut-turut jumlah kehadiran penonton melebihi setengah juta orang.

Jumlah harian juga mencatat rekod mana-mana kejohanan Grand Slam dengan 62,885 kehadiran penonton pada hari keempat memecah rekod lama 61,083 hadir menyaksikan Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat 1 September tahun lepas.

Kejohanan tahun ini turut menyaksikan kejutan terbesar apabila pemain bukan pilihan dari Perancis, Jo-Wilfried Tsonga berjaya mara ke perlawanan akhir dengan persembahan menakjubkan menewaskan empat pemain pilihan berturut-turut dengan kemuncak menewaskan pemain nombor dua dunia, Rafael Nadal di peringkat separuh akhir.

Pemain nombor satu dunia yang tewas kepada Novak Djokovic, juga di separuh akhir mencatat rekod servis ace terbanyak dengan 91 manakala Serena Williams mendahului bahagian wanita dengan 40 servis ace.

Manakala pemain Amerika Syarikat, Andy Roddick mencatat rekod servis paling laju dengan kelajuan tertinggi 237km/j manakala Venus Wiliams merekodkan servis selaju 199km/j dalam bahagian wanita.

No comments: