Wednesday, March 18, 2009

Badminton: Chong Wei tiada rakan sepelatih


ADA 'impian mustahil' bermain-main dalam sanubari Misbun Sidek apabila cuba mencari jalan terbaik untuk memastikan kemenangan anak didiknya, Lee Chong Wei ke atas jaguh China, Lin Dan, mampu berterusan.

Impian itu ialah untuk memiliki pemain dengan corak aksi persis juara Olimpik itu - supaya Chong Wei sentiasa mampu beruntung menerusi pendedahan dan latihan secara kerap.

“Ketika ini, tiada seorangpun pemain negara punya corak persembahan seperti Lin Dan. Ia bermakna Chong Wei akan hanya mampu belajar dan mempraktikkan pendekatan baru apabila bertemunya di kejohanan antarabangsa.

“Ia berbeza dengan Lin Dan kerana dia mempunyai beberapa rakan sepelatih berkualiti tinggi seperti Chen Jin, Bao Chunlai dan pemain-pemain muda yang mampu menjelmakan tentangan sehebat Chong Wei.

“Kerana itu, saya sentiasa perlu fikirkan pelbagai simulasi - termasuk menggabungkan beberapa pemain untuk berdepannya - supaya Chong Wei dipersiapkan daripada semua aspek,” kata Misbun.
Lee Chong Wei

Gelisah itu terbit kerana Misbun mengakui betapa jurang di antara kedua-duanya sebenarnya tidak jauh - tetapi Chong Wei ketika ini tertinggal daripada segi percaturan taktikal peringkat tertinggi.

“Ketahanan mental bukan lagi isunya untuk Chong Wei. Kejayaannya untuk sentiasa layak ke final Siri Super Dunia membuktikan Chong Wei mempunyai mental yang mantap.

“Tetapi percaturan taktikal pada tahap tertinggi adalah sesuatu yang kurang. Jadi, Chong Wei tidak boleh perangkap Lin Dan daripada segi itu. Ketika ini, satu-satunya pilihan ialah bersaing daripada segi ketahanan fizikal,” katanya.

Itulah yang juga dilakukan Chong Wei ketika menundukkan Lin Dan untuk menjuarai Terbuka Switzerland selepas menang 21-16, 21-16 buat menebus kehampaan pada final Seluruh England, seminggu sebelumnya.

F1: Pasukan McLaren terus bergelut


PEMANDU Renault, Fernando Alonso mengenepikan pasukan Brawn daripada senarai teratas catatan masa terpantas Formula Satu sewaktu ujian terakhir pra-musim di Sepanyol ketika McLaren terus berdepan kesukaran.

Juara dunia dua kali dari Sepanyol itu, yang kenderaannya R29 terbabas pada hari pertama Ahad lalu, menamatkan 103 pusingan di litar Jerez dengan catatan terbaik satu minit 18.343 saat.

Pemandu Brazil, Rubens Barrichello, yang memandu bekas kereta Honda yang kini dinamakan Brawn GP sempena nama pemilik baru, Ross Brawn, mencatatkan 1:18.398s dengan rakan senegara dari Britain, Jenson Button merakam catatan ketiga terpantas dengan 1:18.892s.

“Saya cukup gembira kerana melakukan lebih daripada 100 pusingan yang sememangnya sasaran kami bagi hari terakhir ujian pada musim sejuk ini,” kata Alonso.

“Kami cukup bersedia untuk musim ini,” katanya.

Musim baru perlumbaan bermula di Melbourne pada 29 Mac dengan saingan di Malaysia akan menyusul seminggu selepas itu.

Barrichello, pencatat masa terpantas pada Ahad lalu, memandu Brawn pada sesi sebelah pagi sebelum menyerahkan kepada Button, yang aksinya terjejas akibat masalah kotak gear selepas 12 pusingan pada sebelah tengah hari.

Juara dunia Lewis Hamilton dari McLaren, yang pasukannya mengakui berdepan masalah dengan kereta baru yang kurang daya pecutan, menamatkan 87 pusingan dengan catatan terbaik 1:19.513s.

Pemandu Britain itu yang sedang menguji modifikasi baru aerodinamik, menduduki tempat keempat daripada lima pelumba yang melakukan ujian itu.

F1: Juara dunia ditentu menerusi pelumba paling banyak raih kemenangan


BARISAN pegawai tertinggi Formula Satu memutuskan gelaran juara dunia musim ini akan diberikan kepada pelumba yang memenangi jumlah perlumbaan terbanyak, bukan yang mengumpul jumlah mata tertinggi.

Keputusan drastik itu adalah sebahagian perubahan yang bermatlamat menyuntik keghairahan kepada sukan yang terjejas akibat kelembapan ekonomi selain perlumbaan yang tidak banyak menyaksikan usaha untuk memintas pelumba di hadapan.

Mengikut peraturan baru itu, jika dua atau lebih pemandu menamatkan musim dengan jumlah kemenangan perlumbaan yang sama, gelaran akan diberikan kepada pemandu dengan jumlah mata tertinggi - dengan peruntukan mata mengikut sistem sedia ada.

“Kedudukan lain, daripada tempat kedua hingga terakhir, akan ditentukan oleh sistem mata sedia ada,” menurut kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.